Monday, February 9, 2015

Banjir 2014

Assalamualaikum... salam hormat...

Sudah masuk bulan ke2 kita meninggalkan tahun 2014. Sesungguhnya tahun 2014 merupakan tahun berdukacita buat semua rakyat Malaysia. Terlalu banyak musibah yang menimpa negara. Terlalu banyak keperitan, kesedihan & kemurungan. Antaranya musibah banjir yang melanda negara, terutamanya negeri-negeri di Pantai Timur. 

Kampung atok anak-anak, abah ibu, tidak terkecuali. Menjadi kebiasaan, Kg Kuala Bera, Bera, Pahang bah, sekiranya hujan lebat atau hujan tanpa henti pada penghujung tahun. Namun, bah pada tahun ini merupakan sesuatu yang tidak dijangka sama sekali. Rumah atok dan opah dinaiki air sehingga paras dada! Tak keterlaluan sekiranya ibu katakan lebih 50% perabot dan barang-barang di dalam rumah punah dan tidak boleh digunakan lagi.

Berbanyak kesyukuran dipanjatkan kepada Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang kerana ketika kampung dilanda banjir, atok dan opah tidak berada di sana. Seperti anak-anak maklum, rumah di kampung merupakan rumah kedua atok dan opah. Tetapi barang dan perkakasan di rumah lengkap sama seperti rumah di sini. Ketika banjir melanda, atok dan opah tidak dapat balik ke kampung untuk menyelamatkan barang-barang memandangkan jalan masuk ke kampung awal-awal lagi sudah tidak boleh dilalui. Deras dan cepatnya air sungai Pahang melimpah menyebabkan Tok Teh, Nenek Tam dan keluarga sempat mengalihkan peti sejuk dan mesin basuh sahaja.

Agak lama rumah atok dan opah terendam air bah. Dan agak lambat juga atok, opah dan kita juga dapat pulang ke kampung dek kerana jalan masuk ke kampung masih ditakungi air. Bekalan elektrik dan air bersih juga masih terputus. Hampir 2 minggu rasanya. Lucu, tapi memang perlu... ibu sehingga call ke Jabatan Air Bera mohon percepatkan sambungan bekalan air ke kampung atok. Alasan mereka ketika itu rumah pam juga ditenggelami air dan ada bahagian yang mengalami kerosakan. Ibu faham tapi terasa tidak mahu faham. 

Peristiwa banjir ini sangat meruntun jiwa. Rumah yang walaupun baru 5 tahun usianya, mempunyai satu nilai sentimental. Ibu pasti, inilah rumah yang atok dan opah impikan. Rumah yang dilakar rekabentuknya, dibina di atas tanah sendiri. Yang mereka impikan untuk terus menetap di situ satu hari nanti mungkin. Sedikit ujian yang Allah beri ini, benar-benar menanam perasaan meletakkan diri di tempat mangsa-mangsa banjir yang lebih besar ujiannya. Yang rumahnya hanyut, yang tinggal sehelai sepinggang, yang kematian ahli keluarga. Allahurabbi.

Mudah-mudahan kita sentiasa menjadi hamba yang tidak pernah melupakankan Allah. Hamba yang bersyukur, yang tidak tinggi diri. Semua yang kita ada adalah milik Allah, pinjaman semata-mata. 
Antara pemandangan pasca banjir di sepanjang perjalanan ke rumah atok & opah.


Laluan masuk ke Kg Kuala Bera. Dari sini jaraknya kira-kira 20 minit perjalanan. Air sudah mula menyusut. Sudah boleh diredah dengan kereta biasa.







Paras air hampir mencecah bumbung. Lihat kesan kotoran.


Air yang terperangkap


Kerosakan di rumah atok dan opah.
















Alhamdulillah ada sukarelawan datang membantu. 








Anak-anak ibu pun ada membantu... ;-)

 
Paras air atas... rumah bawah, kalau kita berdiri tenggelam...

No comments: